Monday, June 25, 2012

INGAT DENGAN LUPA???


Tingkatkan daya ingatan dengan lupa.

Lupa yang berlaku pada manusia tidak semestinya sesuatu yang buruk. Sekiranya kita tidak lupa, minda kita akan bertaburan dengan banyak benda yang tidak penting, yang menyulitkan ia untuk menerima maklumat-maklumat yang penting.

Bayangkan saat-saat di mana anda terpaksa mengecilkan diri sewaktu memasuki transit aliran rendah yang dipenuhi dengan manusia yang berhimpitan di dalamnya. Payah bukan? Bayangkan juga betapa sukarnya seorang pemain bola sepak untuk menjaringkan gol apabila kesemua pemain pertahanan lawan berkubu di depan gawang walhal gol yang hanya dikawal oleh seorang penjaga gol pun terkadang membuatkan penonton hanya mampu melongo melihat bola yang bulat itu tersasar jauh dari sasaran.

Begitulah minda manusia. Maklumat-maklumat baru sukar untuk masuk sekiranya minda dipenuhi dengan banyak perkara yang tidak penting. Pendek kata, lupa perkara yang tidak penting membantu mengingat perkara yang penting!

Teori Frued
Represi merupakan satu faktor yang dapat melupuskan ingatan seorang manusia. Penjelasan faktor ini telah dicadangkan oleh Sigmund Frued dalam teorinya yang berkaitan dengan minda bawah sedar. Menurut beliau, ingatan-ingatan yang tidak gembira atau tidak ingin diterima boleh dilupakan dengan sengaja sekiranya kita berniat berbuat demikian. Ingatan-ingatan tersebut dimasukkan ke dalam minda bawah sedar dengan sengaja supaya seseorang individu tidak perlu lagi hidup bersama dengannya.

Banyak ahli psikologi percaya bahawa lupa yang bermotivasi tersebut boleh berlaku dalam kehidupan seharian kita. Contohnya, apabila kita balik daripada percutian, kita cenderung untuk mengingat waktu-waktu yang gembira dan lupa waktu-waktu yang sedih sepanjang percutian tersebut. Ini jelas menunjukkan bahawa kita telah mengalami kelupaan kerana kita mahu untuk lupa.

Lupakan segala perkara yang tidak penting dalam hidup anda
Apakah perkara yang perlu dan yang patut anda lupakan?
Lupakan segala komunikasi yang tidak penting yang berlaku antara anda dengan orang-orang di sekeliling anda. Contohnya, perbualan kosong di kaki lima, di kedai makan, di pejabat mahupun di dalam facebook. Sebenarnya, tanpa anda sedari, perbualan-perbualan kosong ini menutup sebahagian pintu minda anda. Oleh yang demikian, lupakannya dengan segera.

Lupakan segala kesalahan yang dilakukan oleh orang lain pada anda. Bukankah memaafkan itu lebih aula bagi seorang muslim? 
Firman Allah SWT: “Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – Surah At-Taghabun ayat 14.
Lupakan juga peristiwa-peristiwa aib yang berlaku sama ada melibatkan anda ataupun orang lain. 
Rasulullah SAW pernah suatu ketika bersabda: “…Barangsiapa yang menutup aib seorang muslim nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya…” – Hadis riwayat Muslim no. 2699.
Lupakan keburukan-keburukan yang ada pada seseorang di sekeliling anda. Almaklumlah, ibarat kata pepatah Melayu: “Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tak nampak.”

Teknik melupakan ingatan
Teknik melupakan ingatan adalah satu teknik yang mana sesuatu ingatan dapat dilupuskan daripada minda dengan cara mendesaknya keluar.

Dalam teknik melupakan ingatan, langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah berfikirkan tentang perkara yang ingin anda lupakan. Seterusnya, pejamkan mata dan berniat dalam hati dengan bersungguh-sungguh bahawa anda akan melupakan perkara tersebut buat selama-lamanya. Lama kelamaan, perkara tersebut akan mulai luput daripada minda anda! Percayalah.

Melupakan sesuatu perkara sebenarnya lebih mudah berbanding untuk mengingat sesuatu perkara. Ini disebabkan, untuk lupa kita hanya perlu gagal dalam salah satu daripada tiga peringkat ingatan iaitu peringkat rakaman, simpanan dan ingat kembali. Manakala, untuk mengingat, kita perlu berjaya dalam ketiga-tiga peringkat tersebut. Peluang mengingat boleh dinisbahkan kepada peluang lupa dengan nisbah satu kepada tiga.

                                        Kesimpulan
Manusia adalah ciptaan Allah sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Hijr ayat 28: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk.”

Begitu juga lupa yang ada pada manusia adalah ciptaan Allah sebagaimana hadis Rasulullah SAW tercinta: “Adam mengingkari, maka anak cucunya pun mengingkari.Adam lupa, maka anak cucunya pun dijadikan lupa.Adam berbuat salah, maka anak cucunya berbuat salah.”

Dan segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah tidak sia-sia. Ingatlah firman Allah SWT: “(iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.” – Surah An-Nisaa’ ayat 86.

Petikan artikel ini ditulis oleh Hafizuddin Taufik Ramli. Merupakan seorang pelajar tahun tiga perubatan di Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment